Magiic Xplore X7 Ialah Telefon Satelit Android Pertama Dibangunkan Di Malaysia

News Coverage on https://virealhub.com written by sukansentral.

Sekiranya anda gemar menghabiskan masa lapang dengan berkhemah di belantara, anda akan menyedari tiada rangkaian selular dapat diterima peranti di kawasan terpencil. Ini ialah waktu terbaik untuk menikmati kehidupan tanpa gangguan dunia luar. Tetapi jika anda masih memerlukan sambungan ke dunia luar, telefon satelit diperlukan. Magiic Xplore X7 ialah telefon satelit yang menggunakan sistem operasi Android dan dibangunkan oleh syarikat tempatan AdvanceTC.

Magiic Xplore X7 ini dilengkapi skrin 5.2″ HD penuh, dijana pemproses Snapdragon 625, memori sebesar 4GB RAM, storan sebesar 64GB, kamera utama 16-Megapixel f/20, kamera swafoto 8-Megapixel f/2.o dan bateri sebesar 4500 mAh. Menurut AdvanceTC, dengan bateri sebesar ini peranti dapat bertahan selama dua hari dengan sambungan rangkaian 4G atau 30 hari apabila bersambung ke rangkaian satelit Iridium.

Peranti mempunyai kerangka tahan lasak yang mempunyai kemampuan kalis air IP67.  Terdapat sebuah butang kecemasan khas pada bahagian atas peranti yang akan memberikan kedudukan tepat pengguna bagi memudahkan proses memberikan bantuan.

Sistem operasi Android 8.0 digunakan sekaligus menjadikannya telefon satelit Android kedua di dunia selepas Thuraya X5-Touch  yang dilancarkan April lalu. Tiada maklumat mengenai harga jualan buat masa ini. Bagi yang berminat peranti ini akan mula dipasarkan sekitar bulan Oktober.